Thursday, August 25, 2011

Budak Rentung Selepas Bersahur


PULAU PINANG 24 Ogos – Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut tidak sampai seminggu lagi mungkin tidak bererti lagi buat keluarga Mohamad Zafian Zainol, 35.


Ia kerana anak yang disayanginya, Zulaika Batriesya, 9, meninggal dunia dalam kebakaran yang memusnahkan lima buah rumah di perkampungan setinggan di Sungai Nibong Kecil di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 pagi itu, mangsa ditemui rentung di dalam longkang di tepi rumah jirannya.
Mangsa yang menghidap penyakit sawan sebelum itu diselamatkan kedua ibu bapanya namun dia dipercayai cuba memasuki semula rumah ketika api sedang marak.
Lima lagi adik-beradik mangsa termasuk datuknya berjaya diselamatkan oleh Mohamad Zafian dan isteri.
Mangsa merupakan anak ketiga daripada lima beradik.
Rumah kayu dua tingkat didiami mangsa dihuni oleh 11 orang daripada dua buah keluarga yang bersaudara.
Keluarga mangsa tinggal di bahagian bawah manakala sebelah atas neneknya.
Menurut nenek saudara mangsa, Rosni Ismail, 57, yang juga tinggal di bahagian atas rumah, mereka sekeluarga baru selesai bersahur sebelum kejadian.
Katanya, sebaik menyedari berlaku kebakaran, dia cuba mengejutkan keluarga Mohamad Zafian yang tidur di ruang tamu dan pada masa berusaha menyelamatkan keenam-enam anaknya.
“Kebakaran berlaku selepas kami selesai bersahur, manakala keluarga mangsa pula difahamkan tidur semula sebelum menunggu masuk azan Subuh.
“Saya berjaya membuka pintu rumah Mohamad Zafian dan ketika itu juga saya cuba mengeluarkan semua penghuni sambil api sedang marak tetapi tidak sedar bila Zulaika masuk semula ke dalam rumahnya,” katanya dalam nada sedih ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Nenek mangsa, Rosnah Ibrahim, 55, pula berkata, kali terakhir dia berjumpa Zulaika adalah tiga hari lalu.
“Saya baru keluarkan duit dari bank untuk membeli baju raya untuk Zulaika bersama lima cucu yang lain tetapi impian saya kini berkecai,” ujarnya yang cedera di lutut semasa menyelamatkan cucu-cucunya.
Kebakaran itu turut memusnahkan kesemua harta benda miliknya termasuk wang dan barang kemas untuk dipakai di pagi Syawal.
Mayat Zulaika dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat sebelum dituntut bapanya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Betong selepas Asar.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Rohizad Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 6 pagi dan tiba di tempat kejadian beberapa minit kemudian.
Katanya, seramai 27 anggota dari Balai Bayan Baru dan Jalan Perak serta bomba sukarela berjaya memadam kebakaran sepenuhnya kira-kira 50 minit kemudian.
Siasatan masih dijalankan untuk mencari punca kebakaran termasuk kos kerugian.

Ulama Bukan ‘Penumpang’


SHAH ALAM – Peranan ulama yang terlibat dalam politik perlu diiktiraf agar segala pandangan, teguran dan cadangan diambil kira dalam memastikan pentadbiran parti dan kerajaan berlandaskan hukum syarak.

Ketua Penerangan Pas, Da­tuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ulama yang terlibat dalam politik tidak boleh dianggap sebagai ‘penumpang’ sebaliknya peranannya sebagai ‘peman­du’ kepada kepemimpinan

Katanya, ulama yang menyartai politik bukan dengan hasrat mencari kepentingan peribadi, sebaliknya berdakwah dengan cara tersendiri.

“Ulama ada tanggungjawab dan amanah tetapi peranan­nya dalam politik perlu diiktiraf kerana dengan peng­iktirafan itu, segala pandang­an dan nasihat akan didengar dan diambil kira,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir sebagai ahli panel Wacana Sinar Harian Siri 6 bertajuk Ulama Politik, Untuk Dakwah atau Parti di Audi­torium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini, semalam.

Dua lagi anggota panel dalam wacana itu Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria dan ulama muda Umno Fathul Baru Mat Jahya. Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin bertindak sebagai moderator.

Menurut Tuan Ibrahim pandangan dan nasihat ulama politik tidak harus dipencilkan sebaliknya perlu memainkan peranan penting dalam sesebuah parti politik bagi emastikan perjuangan tidak tersasar dari ajaran Islam.

“Sebelum ini ada pihak menggelar ulama politik tertentu sebagai ‘terompah’ atau ‘periuk nasi elektrik’ yang hanya menjatuhkan kredibiliti ulama berkenaan. Tuduhan itu juga seolah-olah pandangan ulama berkenaan hanya diperlukan apabila terdesak,” katanya.

Menurutnya, ulama di dalam politik mesti berlandaskan syariat Islam bukan mengejar kepentingan tertentu.

“Ulama pada asas maknanya ialah orang yang berilmu, tetapi dari sudut istilah penggunaan ulama dikaitkan dengan sifat takwa kepada ALLAH. Malah ALLAH mengangkat darjat manusia disebabkan dua perkara, iaitu iman dan ilmunya.

“Oleh itu dalam konteks ini, orang berilmu yang diangkat oleh ALLAH ialah golo­ngan beramanah dalam ilmu,” katanya.

Beliau berkata, orang yang melakukan khianat dalam ilmu akan menyebabkan kesan memudaratkan, iaitu boleh menyebabkan masyarakat dan generasi musnah.

Menurutnya, Pas adalah satu-satunya parti politik di negara ini yang memberi peng­iktirafan kepada ulama.

Sumber:Sinar Harian

Kilang Proses Ayam Diserbu Penguatkuasa



GEORGETOWN - Sebuah kilang penyembelihan dan pemprosesan ayam segar yang beroperasi tanpa mengikut hukum syarak di Taman Bukit Kecil, Bukit Mertajam diserbu sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) semalam. 


Serbuan yang dilakukan kira-kira jam 3.30 pagi itu adalah hasil maklumat orang awam yang diterima JHEAIPP sejak tiga hari lalu sebelum pemeriksaan dan serbuan dilakukan. 



Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JHEAIPP, Faizal Ibrahim berkata, pemeriksaan awal terhadap kilang yang beroperasi kira-kira 20 tahun itu mendapati kilang berkenaan tidak mempunyai sijil halal. 



Menurutnya, kilang berkenaan juga didapati menggunakan plastik pembungkusan berlogo halal milik sebuah syarikat beroperasi di Segambut, Kuala Lumpur. 



Faizal berkata, turut dikesan tempat penyembelihan mengikut syarak dan syariah Islam berada kira-kira hampir 10 meter dengan tempat memproses ayam segar untuk orang bukan Islam tanpa ada sebarang halangan bagi memisahkannya. 



“Dalam pemeriksaan itu kira-kira 3,000 ayam yang sudah diproses yang dianggarkan bernilai RM30,000 kemudian dirampas dan diserahkan kepada KPDNKK untuk pemeriksaan lanjut. 



“Siasatan akan dijalankan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 dan sekiranya sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM250,000,”katanya kepada media di sini semalam. 



Faizal berkata, pihaknya turut menahan 10 pekerja termasuk beberapa pekerja warga asing dari Bangladesh dan Nepal berusia antara 30 hingga 35 tahun untuk diambil keterangan diri bagi membantu siasatan. 



Difahamkan, ayam yang diproses di kilang berkenaan dipasarkan di sekitar Pulau Pinang termasuk juga beberapa hotel ternama, restoran, pasar pagi dan juga pasar malam. 



Dua lelaki tempatan dipercayai bertugas penyembelih di kilang berkenaan mempunyai sijil tauliah penyembelihan tetapi dikatakan tidak mengikut hukum syarak ketika menjalankan tugas mereka.


Sumber:Sinar Harian

Islam bukan hanya milik orang Melayu saja- Huda Chew




KUALA LUMPUR: Ketua Wanita KEADILAN Bukit Gelugor, Sheryl Chew Hong Wah atau nama barunya Huda Chew Hong Wah nekad mendalami ajaran Islam sepenuh masa.


Bercakap kepada Suara Keadilan, beliau kini merasa lebih tenang selepas memeluk Islam, yang disifatkan beliau sebagai agama yang bersifat universal.
“Saya merasa amat tenang selepas saya memeluk Islam dan amat meyakini agama ini adalah agama yang benar.
“Ia bukan hanya milik orang Melayu atau bangsa Arab tetapi ia milik semua manusia,” katanya.
Menurut Huda, beliau turut melahirkan rasa terharu dengan sokongan berterusan semua pihak terutama guru dan sahabat karibnya, Faridah Abdul Karim yang juga Timbalan Ketua Wanita KEADILAN Cabang Gombak.
“Sejak berita saya memeluk Islam tersebar, rakan-rakan Facebook saya semakin bertambah.
“Tetapi yang lebih buat saya terharu ialah dokongan berterusan dan kata-kata semangat dari semua pihak terutamanya kak Faridah,” katanya.
Sementara itu, di Facebook, beliau kini menggunakan nama Huda Chew Hong Wah (Cheryl).
Huda sah bergelar muslim kira-kira 3 petang semalam di pejabat Jemaah Islam Malaysia (JIM) Taman Melawati, Gombak dan disaksikan rakan-rakan terdekatnya yang turut menitiskan air mata menyaksikan majlis itu.
Huda yang bermaksud ‘petunjuk’ dalam bahasa Arab sebelum ini banyak mendalami Islam menerusi kenalan yang menghadiahkan tafsir Al-Quran dan buku-buku agama dari rakan-rakan terdekat.
Difahamkan, sebelum ini Huda Cheryl sudah mula berpuasa dan mendalami Islam berperingkat-peringkat sebelum mengambil keputusan memeluk Islam ketika hari ke 24 umat Islam menunaikan ibadah Ramadhan.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=19557

Tuesday, August 23, 2011

Diskusi Buku Negara Berkebajikan Di Seluruh Negara


:
KUALA LUMPUR, 22 Ogos: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyahut gesaan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang agar buku Konsep Asas Negara Berkebajikan terus dipercambahkan perbincangannya di kalangan seluruh rakyat Malaysia.

Setiausahanya, Dr. Khairuddin Aman Razali menegaskan komitmen Dewan Ulamak PAS Pusat untuk merealisasikan hasrat Presiden PAS itu.
"Insya Allah kita akan memastikan agar seluruh rakyat tanpa mengira perbezaan pandangan dan agama memahami hasrat PAS untuk mewujudkan sebuah Negara Berkebajikan yang lebin mapan dan jitu serta berbeza sekali dengan Negara Kebajikan bawaan barat," tambah beliau lagi.
Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh menegaskan bahawa menjadi keutamaan Dewan Ulamak untuk mempelopori usaha penerangan tentang Negara Berkebajikan.
"Kita, insya Allah akan berusaha memastikan agar buku Tuan Guru Presiden ini akan didiskusikan di seluruh negara, insya Allah kita akan menggerakkan Dewan Ulamak setiap negeri untuk merealisasikan hasrat ini," ujar beliau lagi.
Pihak web DUPP dimaklumkan bahawa Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu telah mendahului usaha itu dengan menganjurkan Nadwah Ulamak baru-baru ini dalam usaha memberikan penjelasan berkenaan gagasan Negara Berkebajikan.

Kerajaan Campur Aduk Subsidi, Tanggungjawab


KUALA LUMPUR, 22 Ogos:Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mendakwa kerajaan BN tidak tahu membezakan di antara tanggungjawab sosial dan pemberian subsidi kepada rakyat.
Beliau berkata, kerajaan silap apabila mencampur adukkan soal tanggungjawab mereka dengan pemberian subsidi untuk mengurangkan beban rakyat.
Ini katanya dapat dilihat dalam pengagihan subsidi yang dilakukan kerajaan sejumlah RM74 bilion iaitu RM42 bilion dalam bidang sosial, RM23.5 bilion dalam bidang tenaga dan bahan api, RM4.8 bilion untuk infrastruktur dan RM3.4 bilion untuk makanan.
"Kerajaan selalu berhujah mereka terlalu banyak menampung subsidi iaitu sebanyak 74 bilion setahun yang menyebabkan kerajaan kata terpaksa mengurangkan subsidi.
"RM3.4 bilion untuk makanan berbanding perkara lain, ini terlalu kecil umpamanya RM42 bilion dalam bidang sosial, kerajaan tidak boleh menganggap ini sebagai subsidi tetapi sebaliknya ini tanggungjawab sosial kerajaan, sama juga soal pendidikan dan kesihatan.
"Isunya ialah adakah kerajaan nak mengatakan RM42 bilion itu tanggungan yang besar lalu kerajaan terpaksa tarik subsidi dalam bidang lain yang lebih penting?
"Kerajaan sudah menggabungkan tanggungjawab mereka dengan pemberian subsidi. Ini tidak wajar," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai membidas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop bahawa kerajaan  tidak mempunyai kuasa untuk menentukan kenaikan harga barangan.
Sebaliknya beliau berkata kenaikan harga barang ditentukan oleh pasaran dunia.
Beliau berkata demikian dipercayai sebagai mengulas penubuhan Kempen dan Kelab Protes Barang Naik (Protes BN) oleh PAS Sabtu lalu.
Mahfuz yang juga Pengerusi Protes BN kecewa dengan kenyataan demikian yang dianggap sebagai cuba melarikan diri daripada isu sebenar.
"Saya terkejut seorang menteri boleh keluarkan kenyataan sebegini rupa yang hanya melihat kepada satu faktor iaitu kenaikan harga pasaran dunia.
"Saya tak tahulah yang dimaksudkan harga pasaran dunia termasuk juga dengan kangkung, dengan halia yang menyebabkan berlaku kenaikan harga," katanya berseloroh.
Ujar Mahfuz, meskipun kenaikan harga pasaran duni menjadi salah satu faktor kenaikan harga barang, namun ianya boleh dikawal sekiranya kerajaan bijak menguruskan ekonomi negara dan bersungguh-sungguh untuk mengurangkan beban rakyat.
"Sepatutnya menteri dapat fahami kenapa PAS tubuhkan kelab protes BN ini. Kita bukan hanya melihat kepada harga barang naik tapi peningkatan kos sara hidup yang ditanggung rakyat.
"Kalau pun berlaku kenaikan harga barang di peringkat global tapi kalau kerajaan bijak menguruskan ekonomi dan kewangan dan berhasrat membantu rakyat mereka dapat menambah pemberian subsidi untuk mengelakkan kenaikan harga barang," katanya yang juga ahli Parlimen Pokok Sena.
Tambahnya, dalam apa jua keadaan, rakyat sentiasa menjadi mangsa sedangkan syarikat-syarikat besar terus mengumpul kekayaan.
"Kerajaan selalu gunakan alasan bila berlaku kenaikan harga pasaran minyak antarabangsa kerajaan kata tak ada jalan lain melainkan menaikan harga kerana tak mampu menanggung beban subsidi yang berlebihan.
"Tapi bila harga pasaran turun kerajaan kata harus perlu menstabilkan harga akhirnya rakyat terus jadi mangsa dalam apa keadaan sekalipun," katanya.
Sementara itu beliau berkata, kempen Protes BN akan diteruskan dan mengalu-alukan penyertaan rakyat.
Sumber: Harakah Daily

Monday, August 22, 2011

Tiada Demo Pemuda PAS Pulau Pinang Sokong JAIS


PULAU PINANG, 22 Ogos: Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang tidak pernah berdemo menyokong Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Masjid Simpang Enan sepertimana yang tersiar di Utusan online baru-baru ini.
Setiausahanya, Afnan Hamimi Taib Azamuddin berharap Utusan online lebih berhati-hati ketika menyiarkan berita seumpama itu kerana ia boleh memburukkan nama baik Dewan Pemuda PAS negeri.
Sebenarnya, jelas beliau perhimpunan selepas solat Jumaat tempoh hari dianjurkan oleh bekas Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Hafiz Nordin menerusi badan bukan kerajaan (NGO) yang diterajuinya.
"Jika Dewan Pemuda PAS Negeri nak anjurkan, bukan 20 yang hadir malahan ratusan. Kami mempunyai displin sebab tidak memandai-mandai buat demo sebab ia belum mendapat rumusan daripada PAS sendiri ekoran pembatalan di saat akhir oleh pihak Gereja Methodist Damansara Utama (GMDU) serta Jais untuk berjumpa pemimpin PAS," jelasnya.
Katanya, kesan berita yang tidak tepat itu menyebabkan Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang mendapat kencaman hebat daripada blogger yang tidak mengetahui perkara sebenar.
"Sedangkan Dewan Pemuda PAS negeri tidak tahu menahu soal demo secara aman berkenaan," ujarnya.
Sumber: Harakah Daily