Thursday, August 25, 2011

Budak Rentung Selepas Bersahur


PULAU PINANG 24 Ogos – Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut tidak sampai seminggu lagi mungkin tidak bererti lagi buat keluarga Mohamad Zafian Zainol, 35.


Ia kerana anak yang disayanginya, Zulaika Batriesya, 9, meninggal dunia dalam kebakaran yang memusnahkan lima buah rumah di perkampungan setinggan di Sungai Nibong Kecil di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 pagi itu, mangsa ditemui rentung di dalam longkang di tepi rumah jirannya.
Mangsa yang menghidap penyakit sawan sebelum itu diselamatkan kedua ibu bapanya namun dia dipercayai cuba memasuki semula rumah ketika api sedang marak.
Lima lagi adik-beradik mangsa termasuk datuknya berjaya diselamatkan oleh Mohamad Zafian dan isteri.
Mangsa merupakan anak ketiga daripada lima beradik.
Rumah kayu dua tingkat didiami mangsa dihuni oleh 11 orang daripada dua buah keluarga yang bersaudara.
Keluarga mangsa tinggal di bahagian bawah manakala sebelah atas neneknya.
Menurut nenek saudara mangsa, Rosni Ismail, 57, yang juga tinggal di bahagian atas rumah, mereka sekeluarga baru selesai bersahur sebelum kejadian.
Katanya, sebaik menyedari berlaku kebakaran, dia cuba mengejutkan keluarga Mohamad Zafian yang tidur di ruang tamu dan pada masa berusaha menyelamatkan keenam-enam anaknya.
“Kebakaran berlaku selepas kami selesai bersahur, manakala keluarga mangsa pula difahamkan tidur semula sebelum menunggu masuk azan Subuh.
“Saya berjaya membuka pintu rumah Mohamad Zafian dan ketika itu juga saya cuba mengeluarkan semua penghuni sambil api sedang marak tetapi tidak sedar bila Zulaika masuk semula ke dalam rumahnya,” katanya dalam nada sedih ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Nenek mangsa, Rosnah Ibrahim, 55, pula berkata, kali terakhir dia berjumpa Zulaika adalah tiga hari lalu.
“Saya baru keluarkan duit dari bank untuk membeli baju raya untuk Zulaika bersama lima cucu yang lain tetapi impian saya kini berkecai,” ujarnya yang cedera di lutut semasa menyelamatkan cucu-cucunya.
Kebakaran itu turut memusnahkan kesemua harta benda miliknya termasuk wang dan barang kemas untuk dipakai di pagi Syawal.
Mayat Zulaika dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat sebelum dituntut bapanya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Betong selepas Asar.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Rohizad Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 6 pagi dan tiba di tempat kejadian beberapa minit kemudian.
Katanya, seramai 27 anggota dari Balai Bayan Baru dan Jalan Perak serta bomba sukarela berjaya memadam kebakaran sepenuhnya kira-kira 50 minit kemudian.
Siasatan masih dijalankan untuk mencari punca kebakaran termasuk kos kerugian.

Ulama Bukan ‘Penumpang’


SHAH ALAM – Peranan ulama yang terlibat dalam politik perlu diiktiraf agar segala pandangan, teguran dan cadangan diambil kira dalam memastikan pentadbiran parti dan kerajaan berlandaskan hukum syarak.

Ketua Penerangan Pas, Da­tuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ulama yang terlibat dalam politik tidak boleh dianggap sebagai ‘penumpang’ sebaliknya peranannya sebagai ‘peman­du’ kepada kepemimpinan

Katanya, ulama yang menyartai politik bukan dengan hasrat mencari kepentingan peribadi, sebaliknya berdakwah dengan cara tersendiri.

“Ulama ada tanggungjawab dan amanah tetapi peranan­nya dalam politik perlu diiktiraf kerana dengan peng­iktirafan itu, segala pandang­an dan nasihat akan didengar dan diambil kira,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir sebagai ahli panel Wacana Sinar Harian Siri 6 bertajuk Ulama Politik, Untuk Dakwah atau Parti di Audi­torium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini, semalam.

Dua lagi anggota panel dalam wacana itu Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria dan ulama muda Umno Fathul Baru Mat Jahya. Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin bertindak sebagai moderator.

Menurut Tuan Ibrahim pandangan dan nasihat ulama politik tidak harus dipencilkan sebaliknya perlu memainkan peranan penting dalam sesebuah parti politik bagi emastikan perjuangan tidak tersasar dari ajaran Islam.

“Sebelum ini ada pihak menggelar ulama politik tertentu sebagai ‘terompah’ atau ‘periuk nasi elektrik’ yang hanya menjatuhkan kredibiliti ulama berkenaan. Tuduhan itu juga seolah-olah pandangan ulama berkenaan hanya diperlukan apabila terdesak,” katanya.

Menurutnya, ulama di dalam politik mesti berlandaskan syariat Islam bukan mengejar kepentingan tertentu.

“Ulama pada asas maknanya ialah orang yang berilmu, tetapi dari sudut istilah penggunaan ulama dikaitkan dengan sifat takwa kepada ALLAH. Malah ALLAH mengangkat darjat manusia disebabkan dua perkara, iaitu iman dan ilmunya.

“Oleh itu dalam konteks ini, orang berilmu yang diangkat oleh ALLAH ialah golo­ngan beramanah dalam ilmu,” katanya.

Beliau berkata, orang yang melakukan khianat dalam ilmu akan menyebabkan kesan memudaratkan, iaitu boleh menyebabkan masyarakat dan generasi musnah.

Menurutnya, Pas adalah satu-satunya parti politik di negara ini yang memberi peng­iktirafan kepada ulama.

Sumber:Sinar Harian

Kilang Proses Ayam Diserbu Penguatkuasa



GEORGETOWN - Sebuah kilang penyembelihan dan pemprosesan ayam segar yang beroperasi tanpa mengikut hukum syarak di Taman Bukit Kecil, Bukit Mertajam diserbu sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) semalam. 


Serbuan yang dilakukan kira-kira jam 3.30 pagi itu adalah hasil maklumat orang awam yang diterima JHEAIPP sejak tiga hari lalu sebelum pemeriksaan dan serbuan dilakukan. 



Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JHEAIPP, Faizal Ibrahim berkata, pemeriksaan awal terhadap kilang yang beroperasi kira-kira 20 tahun itu mendapati kilang berkenaan tidak mempunyai sijil halal. 



Menurutnya, kilang berkenaan juga didapati menggunakan plastik pembungkusan berlogo halal milik sebuah syarikat beroperasi di Segambut, Kuala Lumpur. 



Faizal berkata, turut dikesan tempat penyembelihan mengikut syarak dan syariah Islam berada kira-kira hampir 10 meter dengan tempat memproses ayam segar untuk orang bukan Islam tanpa ada sebarang halangan bagi memisahkannya. 



“Dalam pemeriksaan itu kira-kira 3,000 ayam yang sudah diproses yang dianggarkan bernilai RM30,000 kemudian dirampas dan diserahkan kepada KPDNKK untuk pemeriksaan lanjut. 



“Siasatan akan dijalankan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 dan sekiranya sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM250,000,”katanya kepada media di sini semalam. 



Faizal berkata, pihaknya turut menahan 10 pekerja termasuk beberapa pekerja warga asing dari Bangladesh dan Nepal berusia antara 30 hingga 35 tahun untuk diambil keterangan diri bagi membantu siasatan. 



Difahamkan, ayam yang diproses di kilang berkenaan dipasarkan di sekitar Pulau Pinang termasuk juga beberapa hotel ternama, restoran, pasar pagi dan juga pasar malam. 



Dua lelaki tempatan dipercayai bertugas penyembelih di kilang berkenaan mempunyai sijil tauliah penyembelihan tetapi dikatakan tidak mengikut hukum syarak ketika menjalankan tugas mereka.


Sumber:Sinar Harian

Islam bukan hanya milik orang Melayu saja- Huda Chew




KUALA LUMPUR: Ketua Wanita KEADILAN Bukit Gelugor, Sheryl Chew Hong Wah atau nama barunya Huda Chew Hong Wah nekad mendalami ajaran Islam sepenuh masa.


Bercakap kepada Suara Keadilan, beliau kini merasa lebih tenang selepas memeluk Islam, yang disifatkan beliau sebagai agama yang bersifat universal.
“Saya merasa amat tenang selepas saya memeluk Islam dan amat meyakini agama ini adalah agama yang benar.
“Ia bukan hanya milik orang Melayu atau bangsa Arab tetapi ia milik semua manusia,” katanya.
Menurut Huda, beliau turut melahirkan rasa terharu dengan sokongan berterusan semua pihak terutama guru dan sahabat karibnya, Faridah Abdul Karim yang juga Timbalan Ketua Wanita KEADILAN Cabang Gombak.
“Sejak berita saya memeluk Islam tersebar, rakan-rakan Facebook saya semakin bertambah.
“Tetapi yang lebih buat saya terharu ialah dokongan berterusan dan kata-kata semangat dari semua pihak terutamanya kak Faridah,” katanya.
Sementara itu, di Facebook, beliau kini menggunakan nama Huda Chew Hong Wah (Cheryl).
Huda sah bergelar muslim kira-kira 3 petang semalam di pejabat Jemaah Islam Malaysia (JIM) Taman Melawati, Gombak dan disaksikan rakan-rakan terdekatnya yang turut menitiskan air mata menyaksikan majlis itu.
Huda yang bermaksud ‘petunjuk’ dalam bahasa Arab sebelum ini banyak mendalami Islam menerusi kenalan yang menghadiahkan tafsir Al-Quran dan buku-buku agama dari rakan-rakan terdekat.
Difahamkan, sebelum ini Huda Cheryl sudah mula berpuasa dan mendalami Islam berperingkat-peringkat sebelum mengambil keputusan memeluk Islam ketika hari ke 24 umat Islam menunaikan ibadah Ramadhan.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=19557

Tuesday, August 23, 2011

Diskusi Buku Negara Berkebajikan Di Seluruh Negara


:
KUALA LUMPUR, 22 Ogos: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyahut gesaan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang agar buku Konsep Asas Negara Berkebajikan terus dipercambahkan perbincangannya di kalangan seluruh rakyat Malaysia.

Setiausahanya, Dr. Khairuddin Aman Razali menegaskan komitmen Dewan Ulamak PAS Pusat untuk merealisasikan hasrat Presiden PAS itu.
"Insya Allah kita akan memastikan agar seluruh rakyat tanpa mengira perbezaan pandangan dan agama memahami hasrat PAS untuk mewujudkan sebuah Negara Berkebajikan yang lebin mapan dan jitu serta berbeza sekali dengan Negara Kebajikan bawaan barat," tambah beliau lagi.
Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh menegaskan bahawa menjadi keutamaan Dewan Ulamak untuk mempelopori usaha penerangan tentang Negara Berkebajikan.
"Kita, insya Allah akan berusaha memastikan agar buku Tuan Guru Presiden ini akan didiskusikan di seluruh negara, insya Allah kita akan menggerakkan Dewan Ulamak setiap negeri untuk merealisasikan hasrat ini," ujar beliau lagi.
Pihak web DUPP dimaklumkan bahawa Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu telah mendahului usaha itu dengan menganjurkan Nadwah Ulamak baru-baru ini dalam usaha memberikan penjelasan berkenaan gagasan Negara Berkebajikan.

Kerajaan Campur Aduk Subsidi, Tanggungjawab


KUALA LUMPUR, 22 Ogos:Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mendakwa kerajaan BN tidak tahu membezakan di antara tanggungjawab sosial dan pemberian subsidi kepada rakyat.
Beliau berkata, kerajaan silap apabila mencampur adukkan soal tanggungjawab mereka dengan pemberian subsidi untuk mengurangkan beban rakyat.
Ini katanya dapat dilihat dalam pengagihan subsidi yang dilakukan kerajaan sejumlah RM74 bilion iaitu RM42 bilion dalam bidang sosial, RM23.5 bilion dalam bidang tenaga dan bahan api, RM4.8 bilion untuk infrastruktur dan RM3.4 bilion untuk makanan.
"Kerajaan selalu berhujah mereka terlalu banyak menampung subsidi iaitu sebanyak 74 bilion setahun yang menyebabkan kerajaan kata terpaksa mengurangkan subsidi.
"RM3.4 bilion untuk makanan berbanding perkara lain, ini terlalu kecil umpamanya RM42 bilion dalam bidang sosial, kerajaan tidak boleh menganggap ini sebagai subsidi tetapi sebaliknya ini tanggungjawab sosial kerajaan, sama juga soal pendidikan dan kesihatan.
"Isunya ialah adakah kerajaan nak mengatakan RM42 bilion itu tanggungan yang besar lalu kerajaan terpaksa tarik subsidi dalam bidang lain yang lebih penting?
"Kerajaan sudah menggabungkan tanggungjawab mereka dengan pemberian subsidi. Ini tidak wajar," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai membidas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop bahawa kerajaan  tidak mempunyai kuasa untuk menentukan kenaikan harga barangan.
Sebaliknya beliau berkata kenaikan harga barang ditentukan oleh pasaran dunia.
Beliau berkata demikian dipercayai sebagai mengulas penubuhan Kempen dan Kelab Protes Barang Naik (Protes BN) oleh PAS Sabtu lalu.
Mahfuz yang juga Pengerusi Protes BN kecewa dengan kenyataan demikian yang dianggap sebagai cuba melarikan diri daripada isu sebenar.
"Saya terkejut seorang menteri boleh keluarkan kenyataan sebegini rupa yang hanya melihat kepada satu faktor iaitu kenaikan harga pasaran dunia.
"Saya tak tahulah yang dimaksudkan harga pasaran dunia termasuk juga dengan kangkung, dengan halia yang menyebabkan berlaku kenaikan harga," katanya berseloroh.
Ujar Mahfuz, meskipun kenaikan harga pasaran duni menjadi salah satu faktor kenaikan harga barang, namun ianya boleh dikawal sekiranya kerajaan bijak menguruskan ekonomi negara dan bersungguh-sungguh untuk mengurangkan beban rakyat.
"Sepatutnya menteri dapat fahami kenapa PAS tubuhkan kelab protes BN ini. Kita bukan hanya melihat kepada harga barang naik tapi peningkatan kos sara hidup yang ditanggung rakyat.
"Kalau pun berlaku kenaikan harga barang di peringkat global tapi kalau kerajaan bijak menguruskan ekonomi dan kewangan dan berhasrat membantu rakyat mereka dapat menambah pemberian subsidi untuk mengelakkan kenaikan harga barang," katanya yang juga ahli Parlimen Pokok Sena.
Tambahnya, dalam apa jua keadaan, rakyat sentiasa menjadi mangsa sedangkan syarikat-syarikat besar terus mengumpul kekayaan.
"Kerajaan selalu gunakan alasan bila berlaku kenaikan harga pasaran minyak antarabangsa kerajaan kata tak ada jalan lain melainkan menaikan harga kerana tak mampu menanggung beban subsidi yang berlebihan.
"Tapi bila harga pasaran turun kerajaan kata harus perlu menstabilkan harga akhirnya rakyat terus jadi mangsa dalam apa keadaan sekalipun," katanya.
Sementara itu beliau berkata, kempen Protes BN akan diteruskan dan mengalu-alukan penyertaan rakyat.
Sumber: Harakah Daily

Monday, August 22, 2011

Tiada Demo Pemuda PAS Pulau Pinang Sokong JAIS


PULAU PINANG, 22 Ogos: Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang tidak pernah berdemo menyokong Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Masjid Simpang Enan sepertimana yang tersiar di Utusan online baru-baru ini.
Setiausahanya, Afnan Hamimi Taib Azamuddin berharap Utusan online lebih berhati-hati ketika menyiarkan berita seumpama itu kerana ia boleh memburukkan nama baik Dewan Pemuda PAS negeri.
Sebenarnya, jelas beliau perhimpunan selepas solat Jumaat tempoh hari dianjurkan oleh bekas Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Hafiz Nordin menerusi badan bukan kerajaan (NGO) yang diterajuinya.
"Jika Dewan Pemuda PAS Negeri nak anjurkan, bukan 20 yang hadir malahan ratusan. Kami mempunyai displin sebab tidak memandai-mandai buat demo sebab ia belum mendapat rumusan daripada PAS sendiri ekoran pembatalan di saat akhir oleh pihak Gereja Methodist Damansara Utama (GMDU) serta Jais untuk berjumpa pemimpin PAS," jelasnya.
Katanya, kesan berita yang tidak tepat itu menyebabkan Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang mendapat kencaman hebat daripada blogger yang tidak mengetahui perkara sebenar.
"Sedangkan Dewan Pemuda PAS negeri tidak tahu menahu soal demo secara aman berkenaan," ujarnya.
Sumber: Harakah Daily

Saya Tidak Minta Maaf, Jumpa Di Mahkamah - Mustafa




MAKKAH, 22 Ogos: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali akan mendedahkan segala bukti penglibatan Umno di belakang isu pemeriksaan Jais ke atas gereja methodist Damansara Utama apabila beliau di saman oleh Umno nanti.




Sehubungan itu, beliau tidak bercadang untuk meminta maaf kepada Umno dan akan bertemu dengan mereka di mahkamah nanti, kata Mustafa yang bercakap dengan Harakahdaily dari Makkah.

"Saya tidak akan minta maaf dan akan serahkan bukti yang saya ada dalam mahkamah nanti," kata Mustafa.

Mustafa yang sedang menunaikan umrah sehingga Aidil Fitri ini didesak memohon maaf oleh Umno ekoran dakwaannya bahawa Umno terlibat di belakang Jais dalam pemeriksaannya ke atas gereja itu.

Umno Selangor dilaporkan akan memfailkan saman RM10 juta terhadap  Mustafa Ali berhubung dakwaan kononnya parti Melayu itu memainkan peranan dalam tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas sebuah gereja awal bulan ini.

Menurut Setiausaha Umno Selangor Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed, selain Mustafa, pihaknya juga akan mempertimbangkan pihak-pihak lain dalam saman yang akan difailkan selepas Aidilfitri.

“Kita akan memulakan langkah permulaan saman iaitu saman tuntutan ganti rugi dan saman malu terhadap fitnah yang dibuat Datuk Mustafa Ali terhadap Umno Selangor dengan jumlah RM10 juta.

“Ini adalah tindakan yang terpaksa dilakukan demi mempertahankan maruah dan hak, kami akan hantar notis kepada beliau dan pihak-pihak tertentu dan jika tiada jawapan, kita akan failkan saman selepas Aidilfitri,” kata Mohd Zin pada sidang media di sini.

Menurut Mustafa, pada asalnya beliau bercadang untuk memberikan bukti yang beliau ada kepada Pengarah Jais, namun oleh kerana Jais tidak mahu bertemu dengan PAS, maka bukti itu akan diserahkannya kepada mahkamah nanti.

PAS telah mengambil keputusan bertemu dengan Jais dan GMDU sebelum mengambil sebarang pendirian berhubung dengan isu pemeriksaan Jais ke atas GMDU itu.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang dipengerusikan oleh presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ekoran itu, PAS telah menghantar surat kepada kedua-duanya.

Jais dari awal lagi menolak permohonan PAS untuk bertemu dengan pihaknya dengan alasan nasihat Baginda Sultan Selangor.

GMDU pada awalnya bersedia untuk bertemu pada 16 Ogos lalu namun membatalkannya sehari sebelum itu dengan alasan isu ini sudah terlalu panas.

Mustafa pula dalam sidang medianya di Kuala Terengganu telah meminta para ahli dan pemimpin PAS tidak terperangkap dalam isu itu kerana beliau mempunyai bukti Umno terlibat di belakang tindakan Jais itu.

Sumber: Harakah Daily

Sunday, August 21, 2011

MASIH ADA YANG TAK KENA


 
GEORGETOWN - Seramai 13,114 pengundi yang didaftarkan di Pulau Pinang didapati pemegang mykad yang mempunyai kod bernombor 71 yang mana Jabatan Pendaftaran Negara sendiri tidak dapat mengesan negara asal mereka. 


Setiausaha Dewan Pemuda Pas negeri, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, berdasarkan sistem dalaman yang diproses dari daftar pemilih yang diberikan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) milik parti itu mendapati, ada jumlah pengundi yang ‘tidak kena’ dalam senarai berkenaan. 

“Setelah diselidik, kita mendapati beberapa kesangsian yang ada dalam daftar pemilih iaitu kewujudan warga luar iaitu yang lahir di luar negara tetapi didaftarkan sebagai pengundi di Pulau Pinang. 

“Sehingga 31 Disember 2010, terdapat seramai 760,956 pengundi di negeri ini dan daripada jumlah ini, wujud 14,575 pengundi yang lahir di luar negara tetapi mendaftarkan sebagai pengundi di sini. 

“Jumlah 14,575 ini jika mengikut statistik, ia adalah keempat tertinggi di dalam senarai pengundi di Malaysia sedangkan ada negeri-negeri lain yang mempunyai pengundi yang lahir di Malaysia mempunyai jumlah yang kecil berbanding pengundi yang lahir di luar Malaysia. Oleh itu, ia menjadi satu keraguan dan tanda tanya berhubung jumlah pengundi ini,” katanya kepada media di pejabat Ketua Menteri, semalam. 

Menurutnya, pendedahan itu bukan satu tuduhan namun hanya meragui jumlah yang boleh dikatakan tinggi jika dibandingkan dengan jumlah pengundi dari negeri lain selain memegang mykad yang mempunyai kod nombor yang tiada dalam senarai JPN. 

Afnan berkata, sehingga Disember 2010, seramai 12,948 memegang mykad yang mempunyai kod bernombor 71 yang mana ia tiada di dalam senarai JPN. 

“Kod 71 tiada dalam senarai JPN dan berdasarkan kod yang diberikan JPN, nombor 71 tiada di dalam senarai jabatan itu. Terkini iaitu dari April hingga Jun 2011, seramai 166 pengundi di daftarkan memegang kad pengenalan bernombor kod 71 menjadikan jumlah keseluruhan ialah 13,114 orang. 

“Jumlah ini tidak boleh dikesan oleh JPN serta SPR dari mana mereka datang, negara asal mereka. Apa yang kita bimbang, kemungkinan besar ini usaha-usaha pihak tertentu untuk jatuhkan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang serta memanipulasi pilihan raya dengan memasukkan warga asing ke dalam senarai pengundi,” katanya. 

Menurutnya, apa yang membimbangkan Pas, seperti yang didedahkan JPN sebelum ini, seramai 72,334 warga asing yang memohon untuk menjadi warganegara Malaysia yang mana daripada jumlah itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah meluluskan 29,290 permohonan. 

"Persoalannya sekarang, mengapa begitu ramai diberikan kerakyatan negara ini yang melayakkan mereka mengundi pada masa depan," katanya.



SINAR HARIAN U4 21/8/2011.

Polis malaysia minta duit kopi dari rakyat singapore.mp4

Tuesday, August 16, 2011

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS (DPPN) P.PINANG BERHUBUNG ISU LARANGAN BACAAN ALQURAN MENGGUNAKAN PEMBESAR SUARA SEBELUM SUBUH.

DPPN P.Pinang menyokong penuh penjelasan yang diberikan oleh Mufti P.Pinang Sahibus Samahah Dato' Seri Haji Hassan bin Haji Ahmad berhubung isu larangan bacaan Al-Quran menggunakan pembesar suara sebelum subuh seperti surat yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) pd 12 Julai 2011 yang lalu.

DPPN P.Pinang yakin penuh bahawa arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti tersebut dibuat dengan penuh teliti & cermat serta rujukan dari nas & dalil yang sahih hasil aduan orang ramai berhubung isu tersebut.

Perlu difahami umum bahawa larangan yang dikeluarkan tersebut adalah bersifat 'nasihat hukum' yang terdapat dalam bidang kuasa mufti, bukannya fatwa seperti yang dilaporkan & didakwa sebelum ini.

Islam menganjurkan supaya mereka yang sedang tidur @ berehat dihormati & tidak diganggu tidur mereka dengan mengambil kira mereka yang terlantar sakit, terlalu tua, uzur, bayi mahupun kanak-kanak, samada Islam atau bukan Islam terutamanya ketika waktu selepas isya' hingga sebelum subuh.

Disamping itu, golongan warga tua, kanak-kanak kecil, orang yang sakit juga sangat dititikberatkan Islam untuk dihormati & diraikan hak-hak mereka, seperti yang disarankan oleh Baginda Nabi SAW:-
"Bukan dari kalangan kami (umatku) sesiapa yang tidak menyayangi kanak-kanak kecil, yang tidak menghormati orang-orang tua, yang tidak menyuruh kepada kebaikan & yang tidak mencegah kemungkaran". [riwayat Imam Tarmizi]

Walaupun membaca Al-Quran itu suatu yang sangat dituntut & diberi pahala kepada yang membaca serta yang mendengarnya, tetapi ianya juga turut terikat dalam ruang lingkup adab & batas-batas akhlak yang digariskan Islam.

Membaca Al-Quran walaupun ianya satu perbuatan yang baik, tetapi menjadi berdosa jika diperdengarkan bacaan itu di tempat yang tidak sesuai seperti dalam tandas, dalam majlis maksiat dan sebagainya.

Bahkan ada pendapat dikalangan ulama mengatakan, jika sekiranya bacaan AlQuran yang diperdengarkan melalui radio, cd, mp3 @ apa jua alat teknologi sekalipun, jika bacaan itu tidak diendahkan oleh orang yang mendengar, ada yang sedang ketawa, bercakap ttg urusan lain dsb, hendaklah ditutup (off) sahaja bacaan itu kerana dikira tidak menghormati bacaan AlQuran tersebut. 

Samalah juga keadaannya apabila seseorang sedang memberikan ucapan/kuliah atau sebagainya, ditegah kepada orang yang sedang mengikuti majlis tersebut untuk membaca Al-Quran, sebaliknya harus menumpukan perhatian kepada ilmu yang disampaikan.

Begitulah tingginya nilai adab & akhlak yang diajarkan oleh Islam kepada penganut-penganutnya, kerana itulah tujuan Nabi Muhamaad SAW diutus Allah ke muka bumi, untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak. 

DPPN P.Pinang turut difahamkan bahawa larangan bacaan AlQuran menggunakan pembesar suara sebelum subuh ini bukan sahaja dibuat di Pulau Pinang, bahkan ianya juga telah menjadi peraturan yang dikuatkuasakan sejak sekian lama pada masjid-masjid di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, negeri yang dibawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

Oleh yang demikian, DPPN P.Pinang meminta supaya pihak-pihak yang membantah perkara ini terutamanya yang menjadikan ia sebagai isu politik murahan yang begitu mudah membuat tuduhan melulu & berprasangka jahat kononnya kerajaan DAP P.Pinang telah menghalang bacaan AlQuran, supaya mengkaji & menyelidik terlebih dahulu perkara ini dengan bijak, penuh berhemah & hikmah.

DPPN P.Pinang turut bersetuju dengan kenyataan YB Abd Malik Kassim, EXCO Hal Ehwal Agama Islam Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang menegaskan bahawa larangan ini tidak ada campur tangan dari kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri YAB Lim Guan Eng. Adalah tidak wajar bagi pihak tertentu yang menuduh kerajaan negeri khususnya DAP berkuasa penuh menentukan perjalanan & undang-undang agama Islam yang terletak dibawah naungan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. 

Inilah hikmahnya apabila PAS mengambil keputusan untuk mengadakan kerjasama politik (tahaluf siyasi) dengan PKR dan DAP, dalam masa yang sama rakan-rakan parti dalam Pakatan Rakyat juga turut diberi kefahaman & pengetahuan tentang keindahan Islam yang dibawa oleh Rasululullah SAW. 

Berbeza dengan UMNO yang berkawan dengan komponen BN terutamanya MCA & MIC, semakin lama mereka berkawan, semakin terbukti bahawa UMNO yang mendakwa kononnya turut memperjuangkan Islam tetapi gagal memberi kefahaman Islam yang baik kpd MCA & MIC. 

DPPN P.Pinang juga percaya isu ini sengaja dimainkan oleh pihak-pihak tertentu bagi mengalihkan isu penyelewengan mykad & kepincangan daftar pemilih dalam sistem pilihanraya Malaysia yang hebat didedahkan ketika ini. Pulau Pinang juga tidak ketinggalan berhadapan dengan situasi ini apabila sejumlah lebih 14,000 warga negara asing dikesan terdapat dalam senarai daftar pemilih yang dikeluarkan SPR. Ianya turut diakui oleh Pengerusi SPR sendiri bahawa SPR tidak mampu untuk menyediakan daftar pemilih yang benar-benar bersih seperti tuntutan BERSIH 2.0 sebelum ini. 

Oleh itu, DPPN P.Pinang meminta agar perbahasan mengenai isu larangan ini dihentikan, sebaliknya hendaklah ditumpukan kepada isu pengkhianatan jahat pihak-pihak tertentu yang telah menggadaikan masa depan negara ditangan warganegara asing melalui projek konspirasi mykad & daftar pemilih yang penuh terancang, sulit & kotor.


Salam hormat,

AFNAN HAMIMI BIN TAIB AZAMUDDEN
Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang.

16 Ogos 2011 / 16 Ramadhan 1423H
KENYATAAN MEDIA BERKAITAN ISU MEMBACA AL QURAN
SEBELUM WAKTU SUBUH DENGAN MENGGUNAKAN PEMBESAR SUARA
OLEH : SAHIBUS SAMAHAH DATO’ SERI HAJI HASSAN BIN HAJI AHMAD
MUFTI KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG
TARIKH : 15 OGOS 2011

KRONOLOGI ISU
  1. Perbincangan mengenai isu ini adalah di atas dasar pemerhatian dan realiti yang berlaku di kebanyakan masjid dan surau di negeri Pulau Pinang selain aduan melalui telefon dan email daripada orang awam bertanyakan hukum mengenainya.
  2. Keputusan Mengenai Membaca Al Quran Sebelum Waktu Subuh Dengan Menggunakan Pembesar Suara adalah dibincang dan diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil. 2/2011 bertarikh 7 April 2011 dan disahkan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil. 3/2011 bertarikh 16 Jun 2011.
  3. Mesyuarat turut memutuskan agar keputusan tersebut dipanjangkan kepada qaryah-qaryah masjid seluruh negeri Pulau Pinang melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP). Keputusan berkenaan telah dihantar kepada Pengarah JHEAIPP pada 12 Julai 2011 untuk tindakan selanjutnya kerana qaryah-qaryah masjid terletak di bawah pentadbiran JHEAIPP.

ASAS PERBINCANGAN DAN KUASA JABATAN MUFTI NEGERI PULAU PINANG
  1. Perlu ditegaskan bahawa isu ini dibincang dan diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang bukan atas arahan atau tekanan daripada mana-mana pihak sama ada pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang mahupun mana-mana pertubuhan atau orang perseorangan.
  2. Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang adalah satu jabatan yang bertanggungjawab menjawab dan menyelesaikan segala kemusykilan serta permasalahan berkaitan hukum Islam di negeri ini. Ia berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 45 Enakmen Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 iaitu Mufti hendaklah membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan semua perkara Hukum Syarak, dan dalam semua perkara sedemikian hendaklah menjadi pihak berkuasa utama di Negeri Pulau Pinang selepas Yang di-Pertuan Agong, kecuali jika diperuntukkan selainnya dalam Enakmen ini.
  3. Jika merujuk kehendak Seksyen 48 (1), (2), (3), (4), (5), (6) dan (7) Enakmen Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004, berkaitan Tatacara pembuatan fatwa, keputusan ini bukanlah satu fatwa.
  4. Keputusan mesyuarat tersebut TIDAK DIWARTAKAN dan keputusan ini adalah sebagai satu NASIHAT HUKUM yang sering diputuskan sama ada melalui jawapan terus daripada Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dari semasa ke semasa atau dipohon pandangan terlebih dahulu daripada Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa. Ia merupakan suatu keputusan HUKUM sebagai panduan serta menjelaskan pandangan Islam tentang amalan tersebut kepada seluruh umat Islam di negeri Pulau Pinang untuk diikuti dan dipatuhi.
  5. Tatacara pembuatan fatwa mengikut kehendak Seksyen 48 (1), (2), (3), (4), (5), (6) dan (7) Enakmen Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 adalah seperti berikut :-
  • Sebelum Jawatankuasa Fatwa membuat fatwa, Mufti boleh menyebabkan apa-apa kajian atau penyelidikan dijalankan sebagaimana yang diarahkan olehnya dan kertas kerja disediakan.
  • Apabila Jawatankuasa bercadang hendak membuat fatwa, Mufti hendaklah memanggil suatu mesyuarat Jawatankuasa Fatwa yang dicadangkan itu.
  • Selepas fatwa disediakan oleh Jawatankuasa Fatwa, Mufti hendaklah, bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Fatwa, membuat syor kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenannya bagi penyiaran fatwa itu dalam Warta.
  • Apabila fatwa itu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Jawatankuasa Fatwa hendaklah memaklumkan Kerajaan Negeri tentang Fatwa itu dan selepas itu hendaklah menyebabkan fatwa itu disiarkan dalam Warta.
  • Sesuatu fatwa yang disiarkan dalam Warta hendaklah disertakan dengan pernyataan bahawa fatwa itu dibuat di bawah seksyen ini.
  • Sesuatu fatwa hendaklah disiarkan dalam bahasa kebangsaan dalam tulisan rumi, tetapi teks fatwa itu dalam tulisan jawi boleh juga disiarkan.
  • Apa-apa pernyataan yang dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa tidak boleh diambil sebagai fatwa melainkan jika pernyataan itu disiarkan dalam Warta menurut subsyeksyen (4).

ULASAN SOHIBUS SAMAHAH DATO’ SERI MUFTI BERHUBUNG ISU BERKENAAN
  1. S.S Dato’ Seri Mufti melahirkan kekesalan di atas segala kenyataan yang tidak professional dan tidak berhemah daripada semua pihak termasuk menuduh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang membuat keputusan secara melulu berkaitan isu tersebut.
  2. Keputusan tersebut diputuskan adalah berdasarkan rasa tanggungjawab yang perlu dilaksanakan bagi menyatakan kebenaran dan ia bersandarkan dalil yang sohih.
  3. Islam mensyariatkan untuk tidak mengangkat suara dengan kuat kecuali azan dan beberapa rutin ibadah lain seperti khutbah dan sebagainya. Adapun selain dari itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain. Bahkan perbuatan itu dilarang oleh Nabi Muhammad SAW. Apatah lagi dalam Islam ketenteraman orang lain wajib dipelihara melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak. 
  4. Walaupun bacaan Al-Quran dan zikir amatlah baik, namun kita tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan kita. Mungkin orang lain ingin membacanya sendiri atau ingin membacanya pada waktu lain atau mereka sedang sakit atau ada anak kecil yang sedang tidur atau mereka tidak difardukan solat seperti wanita yang haid atau bukan Islam dan lain-lain.
  5. Rasulullah S.A.W melarang mengangkat suara bacaan di masjid sehingga mengganggu mereka yang lain yang sedang beribadah atau menyakitkan orang lain. Jika mereka yang sedang berada di dalam masjid yang memang bersedia untuk beribadah pun tidak dibenarkan untuk diangkat suara bacaan sehingga mengganggu konsentrasi atau tumpuan terhadap solat mereka, mana mungkin untuk menguatkan suara bacaan melalui pembesar sehingga mengganggu mereka yang sedang berada di luar masjid.
  6. Larangan ini adalah keputusan yang berlaku pada zaman yang belum ada pembesar suara yang gangguannya tidaklah setakat mana hanyalah bagi mereka yang berada di dalam masjid sahaja, bagaimana jika Rasulullah dan para sahabat serta para ulamak dahulu melihat keadaan pembesar suara pada zaman kita ini, dengan itu memang wajar arahan meminta dielakkan bacaan-bacaan yang dibuat melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang luar dan dalam masjid. Mematuhi hal ini bukan kerana isu politik semata, tetapi itu arahan Nabi Muhammad SAW dan juga menjaga Islam yang harmoni.

Sunday, August 14, 2011

UMNO Bijak Mencari Publisiti Di Sebalik Murtadnya Umat Melayu-Islam Di Malaysia; Sejauh Mana Kebenarannya?

Dalam seminggu dua ini, tidak ada cerita yang lebih panas melainkan isu serbuan gereja di Selangor oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Media massa baik eletronik mahupun cetak digunakan sepenuhnya untuk menghebohkan cerita serbuan ini; kononnya ada orang-orang Islam yang diberi habuan untuk menukar aqidah dan murtad dari agama. Soal benar atau tidak,  sama-sama kita tunggu keputusan siasatan JAIS nanti.

Menariknya kejadian ini berlaku di negeri Selangor yang diperintah oleh Pakatan Rakyat. EXCO yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam pula adalah YB Dato' Dr Hassan Ali dari PAS. PAS Pusat pula mengambil pendirian untuk meneliti perkara ini terlebih dahulu dengan mendapatkan penjelasan daripada pihak-pihak yang terbabit. Tidak semena-mena, PAS dituduh membelakangkan ketuanan Islam yang diperjuangkannya demi menjaga hati sekutunya dalam Pakatan Rakyat.

Apapun, syabas diucapkan kepada Dewan Pemuda PAS Pusat yang menyokong  tindakan JAIS sekali gus menyokong sesiapa sahaja yang benar-benar ikhlas ingin mencegah gejala ini. Kita lanjutkan usaha kita bukan sekadar memerangi murtad tetapi juga kemungkaran lain. Saya menyeru rakan-rakan dalam mana-mana organisasi terutamanya UMNO agar teruskan usaha amar ma'ruf nahi mungkar ini. Bagi individu yang masih lagi tidak tahu bagaimana memerangi kemungkaran, sila sertai Dewan Pemuda PAS. Kami ada caranya!

Buat para pejuang dalam UMNO serta kuncu-kuncunya, tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa usaha UMNO tidak lebih daripada mendapatkan publisiti. Demonstrasi, kain rentang, dan risalah yang diedarkan di merata-rata tempat hanyalah sekadar menjuarai isu ini bagi memperlihatkan bahawa merekalah sebenarnya yang berjuangan memartabatkan ketuanan Melayu serta mempertahankan kesucian agama Islam. Hakikatnya, UMNO tidak bersungguh membasmi maksiat. UMNO tidak menggunakan kuasa mereka dalam kerajaan untuk tujuan ini. Mungkin UMNO juga hendak menjaga hati sekutu mereka dalam BN - MCA, MIC, Gerakan.

Jalan paling berkesan mencegah dan memerangi murtad serta kemungkaran lain adalah melalui penguatkuasaan undang-undang syariah. Atas dasar ini, PAS menyertai pilihanraya untuk menguatkuasakan undang-undang syariah melalui penguasaan majoriti kuasa legislatif. Perkara ini dibuktikan apabila PAS telah berjaya menggubal dan meluluskan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah di negeri Kelantan dan Terengganu. Tetapi, kuasa diperingkat negeri adalah terbatas kerana perkara 121 Perlembagaan Persekutuan hanya memperuntukkan kuasa mahkamah syariah menjatuhkan hukuman bagi sebarang kesalahan jenayah syariah tidak boleh melebihi 2 tahun penjara, denda RM5000.00 dan 6 kali sebatan. Itu pun, UMNO tetap menghalang.

Buktinya, Kerajaan Negeri Kelantan di bawah pemerintahan PAS telah meluluskan Enekmen Kesalahan Jenayah Syariah II Kelantan yang di dalamnya menyebutkan hukuman berkaitan murtad menurut syarak. Lupakah anda semua siapakah dan dari parti manakah Perdana Menteri Malaysia yang menghantar surat amaran kepada Kerajaan Negeri Kelantan supaya undang-undang Syariah tersebut tidak dilaksanakan? Apalah yang UMNO takutkan sangat sekiranya undang-undang Syariah dikuatkuasakan. Islam tidak menurunkan hukum sebagai hukuman tetapi sebagai peringatan dan pengajaran kepada yang lain. Oleh sebab itu, perlaksanaannya perlu dibuat di kawasan terbuka agar dapat ditonton oleh rakyat.


Undang-undang sedia ada hanya memperuntukkan kebebasan agama sepertimana yang diabadikan dalam Perlembagaan Malaysia. Pertama, Fasal 11 menetapkan bahawa setiap orang mempunyai hak untuk menyatakan dan menjalankan agamanya dan untuk menyebarkannya tetapi tidak boleh menyebarkan agama-agama lain kepada umat Islam. Kedua, Perlembagaan juga menetapkan bahawa Islam adalah agama negara, tetapi agama-agama lain boleh dipraktikkan dengan damai dan harmoni (Perkara 3).
Sekiranya UMNO yang menunjangi BN bebar-benar ikhlas memerangi murtad, kita tuntut dua perkara sahaja. Pertama; gunalah kuasa untuk meminda perlembagaan bagi memberikan ruang yang seluas-luasnya kepada kerajaan negeri dalam melaksanakan undang-undang syariah. Kedua, berlapang dada sekiranya ada pemimpin UMNO yang dihukum dengan undang-undang syariah tersebut.

Tuesday, August 9, 2011

Video Lucah jadi ikutan Artis... Salah Siapa sekarang? (Video Inside)


PETALING JAYA: Pengarah klip video Marilah, nyanyian Prema Yin iaitu Gambit Saifullah menganggap video klip tersebut tidak berunsur lucah dan keterlaluan seperti mana yang dipersoalkan oleh sesetengah pihak.

Malah menurutnya, klip video yang menggandingkan penyanyi itu dengan pelakon Shahz Jazle tidak seharusnya dijadikan kontroversi kerana hanya memaparkan adegan yang dianggap 'biasa'.

"Saya tidak rasa ia menjadi kontroversi kerana saya hanya menampilkan adegan pasangan suami isteri yang sudah kehilangan cinta dan mempunyai ego masing-masing.

"Saya rasa ia tidaklah terlalu teruk, mungkin ia menjadi kontroversi disebabkan saya dan Shahz Jaszle terlibat dalam klip video ini," ujarnya yang dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.
Shahz Jazle melakonkan watak dengan memeluk pasangannya seolah-olah mahu melakukan adegen seks dalam klip video 'Marilah'.

 
Gambit diminta memberi penjelasan berikutan klip video Marilah yang merupakan single terbaru Prema Yin dikatakan memaparkan aksi bertentangan dengan budaya masyarakat di negara ini.

Dalam klip terbabit, Shahz Jazle dan Prema Yin dilihat melakukan aksi hampir-hampir bercium, berpeluk serta melakukan adegan seperti sedang berada dalam keadaan berahi.

Mereka juga dikatakan cuba membuat publisiti murahan bagi meraih perhatian masyarakat khususnya peminat industri hiburan tanah air.

Kata Gambit, klip video tersebut dihasilkan mengikut perbincangan daripada pihak produksi dan klien yang mahukan ia mengikut standard klip video artis luar negara.

Menurutnya, niat utama penghasilan klip video itu adalah untuk pasaran Amerika Syarikat.

Antara babak dalam klip video 'Marilah' nyanyian Prema Yin.

"Memanglah kalau boleh saya ingin ia turut diterima oleh peminat hiburan tanah air. Tapi kalau ia tidak diluluskan, saya tidak ada bantahan kerana hasrat utama menghantarkannya ke Amerika Syarikat," katanya.

Dalam pada itu, Gambit turut mempersoalkan mengapa sesetengah pihak mengatakan karyanya itu keterlaluan dan lucah sedangkan banyak filem tempatan yang menampilkan aksi lebih daripada itu.

"Kenapa orang ingin mempertikaikan klip video ini sedangkan filem ...Dalam Botol yang jelas memaparkan hubungan songsang dan terdapat aksi lebih teruk tetapi ia diluluskan.

"Apa salah saya, bagi saya video klip tersebut tiada adegan cium ataupun meraba," ujarnya.

Bagaimanapun, dia menerima teguran yang dibuat secara positif dan akan cuba yang terbaik untuk masa akan datang.

"Saya tidak kisah apa orang nak cakap tentang klip video tersebut, saya terima teguran mereka dan akan lebih berhati-hati lagi selepas ini," katanya.

Sementara itu, Prema Yin yang dihubungi kini berada di Amerika Syarikat manakala Shahz Jaszle pula tidak menjawab panggilan untuk mengulas tentang klip video tersebut. - mStar Online

Bulan Ramadhan atau Bulan Puasa?

Alhamdulillah... Ramadhan datang lagi. Setelah 11 bulan kita berjuang, kini kita direhatkan seketika untuk kembali ditarbiah dalam Madrasah Ramadhan. Ironinya Ramadan ini lebih dikenali sebagai bulan puasa bukan bulan tarbiah terutamanya kepada masyarakat Melayu.

Saya tertarik dengan tazkirah yang disampaikan oleh kekanda saya Al-Fadhil Ustaz Muhammad Fauzi Bin Yusoff; Timbalan Pesuruhjaya III PAS Pulau Pinang yang juga merupakan YDP PAS Kawasan Balik Pulau di sebuah surau dalam Balik Pulau. Beliau secara sinis menceritakan realiti masyarakat dalam mendidik anak-anak berpuasa.Sedikit sebanyak saya turut terasa terkena sindirannya.

Masyarakat Melayu sememangnya berjaya dalam mendidik anak-anak berpuasa. Sejak seawal jam 4.30 pagi kita akan berusaha memujuk anak untuk bangun sahur. Pelbagai cara kita guna bagi memastikan mereka bangun. Mungkin pada permulaannya sekadar dipanggil nama, kemudian dicuit badannya, lantas dipicit-picit kepala jika hanya terbuka sebelah mata sahaja. Sekiranya dah dikejutkan berkali-kali  masih liat maka direnjis air ke muka dan sebagainya. Semuanya bagi memastikan anak kita dapat menahan lapar disepanjang siang semasa menjalani ibadah puasa.

Sudah bangun berbagai-bagai pula ragamnya.Sabar kita memujuk mereka dengan diumpannya hidangan istimewa; ayam goreng, ayam golek, ayam madu, ayam panggang, ayam percik dan pelbagai jenis masakan kegemaran mereka. Pada kita yang penting mereka bersahur kemudian dapat menjalani ibadat puasa dengan sempurna.

Belum habis menikmati hidangan sahur, ada yang sudah merancang hidangan berpuasa dengan harapan mereka bersemangat untuk berpuasa. Anak-anak yang terlebih "pintar" (boleh juga dibaca sintaq) meletakkan syarat pula kepada kita - belikan mercun atau bunga api baru boleh puasa. Itupun dituruti tanpa berkata apa-apa.

Bagi anak-anak yang masih kecil berumur dalam lingkungan usia 6-7 tahun, diajarkan pula berpuasa separuh hari. Hari ini berpuasa sampai Zohor sahaja. Keesokannya dilewatkan sedikit untuk mereka berbuka. hampir sebulan dah mampu menahan lapar dan dahaga seperti orang dewasa. Tak cukup dengan itu, diajarkan puasa ada balasannya - satu hari penuh dapat duit raya RM1. Maka berlumba-lumbala mereka yang baru dengan abang-abang atau kakak-kakak yang lebih berusia.

Jika hendak dihimpunkan kisah-kisah mendidik anak-anak berpuasa pasti sepanjang hari sementara menenti waktu berbuka masih belum habis bercerita. Kita sebagai ibu bapa masing-masing pernah melalui zaman kanak-kanak itu. Pasti ada yang terciut hati tertawa keseorangan dengan pengalaman diri sendiri. Pengalaman lalu dijadi pedoman mendidik mereka agar mampu berpuasa sesempurna yang mungkin. Pengalaman curi-curi minum air ketika mandi dan sebagainya menjadi ingatan untuk mengintai anak-anak yang mungkin buat perkara yang sama.

Semuanya kita buat semata-mata memastikan anak-anak kita dapat memenuhi rukun Islam ketiga. Begitulah ragam masyarakat kita mendidik anak-anak berpuasa.

Dalam kekreatifan kita mendidik anak-anak berpuasa kita lupa untuk kreatif mendidik anak-anak melaksanakan tuntutan syariat Islam yang lain. Jika kita begitu prihatin mendidik anak-anak untuk berpuasa, mengapa tidak seperihatin itu kita mendidik anak-anak untuk bersolat, bertadarus, membaiki akhlak dan sebagainya.

Sebab itulah saya meletakkan tajuk artikel ini dengan nama "Bulan Ramadhan atau Bulan Puasa?". Bulan Ramadhan sewajarnya dijadikan sebagai bulan pentarbiahan jiwa. Kita perlu jadikan Ramadhan sebagai madrasah (sekolah) dalam mendidik anak-anak mematuhi syariat Islam. Banyak hikmah yang boleh diambil dalam bulan ini. bersabar, merendah diri, cermat berbelanja, elak membazir, perbanyak amalan sunnah, solat berjamaah dan sebagainya. Bukan sekadar madrasah kepada anak-anak tetapi juda kepada kita semua termasuk diri saya.

Dalam kesempatan awal Ramadhan ini, masih banyak yang perlu kita perbetulkan. Kita perlu memahami bahawa berpuasa bukan sahaja menahan diri dari lapar dan dahaga malahan menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. perkara-perkara yang boleh merosakkan puasa juga perlu dijauhi.

Dalam kesempatan bertemu Ramadhan tahun ini, mari kita sama-sama menghayati serta menghidupkannya dengan agenda pentarbiahan diri dan keluarga. "Jom Ubah Sebelum Parah"!!!