Sunday, August 14, 2011

UMNO Bijak Mencari Publisiti Di Sebalik Murtadnya Umat Melayu-Islam Di Malaysia; Sejauh Mana Kebenarannya?

Dalam seminggu dua ini, tidak ada cerita yang lebih panas melainkan isu serbuan gereja di Selangor oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Media massa baik eletronik mahupun cetak digunakan sepenuhnya untuk menghebohkan cerita serbuan ini; kononnya ada orang-orang Islam yang diberi habuan untuk menukar aqidah dan murtad dari agama. Soal benar atau tidak,  sama-sama kita tunggu keputusan siasatan JAIS nanti.

Menariknya kejadian ini berlaku di negeri Selangor yang diperintah oleh Pakatan Rakyat. EXCO yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam pula adalah YB Dato' Dr Hassan Ali dari PAS. PAS Pusat pula mengambil pendirian untuk meneliti perkara ini terlebih dahulu dengan mendapatkan penjelasan daripada pihak-pihak yang terbabit. Tidak semena-mena, PAS dituduh membelakangkan ketuanan Islam yang diperjuangkannya demi menjaga hati sekutunya dalam Pakatan Rakyat.

Apapun, syabas diucapkan kepada Dewan Pemuda PAS Pusat yang menyokong  tindakan JAIS sekali gus menyokong sesiapa sahaja yang benar-benar ikhlas ingin mencegah gejala ini. Kita lanjutkan usaha kita bukan sekadar memerangi murtad tetapi juga kemungkaran lain. Saya menyeru rakan-rakan dalam mana-mana organisasi terutamanya UMNO agar teruskan usaha amar ma'ruf nahi mungkar ini. Bagi individu yang masih lagi tidak tahu bagaimana memerangi kemungkaran, sila sertai Dewan Pemuda PAS. Kami ada caranya!

Buat para pejuang dalam UMNO serta kuncu-kuncunya, tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa usaha UMNO tidak lebih daripada mendapatkan publisiti. Demonstrasi, kain rentang, dan risalah yang diedarkan di merata-rata tempat hanyalah sekadar menjuarai isu ini bagi memperlihatkan bahawa merekalah sebenarnya yang berjuangan memartabatkan ketuanan Melayu serta mempertahankan kesucian agama Islam. Hakikatnya, UMNO tidak bersungguh membasmi maksiat. UMNO tidak menggunakan kuasa mereka dalam kerajaan untuk tujuan ini. Mungkin UMNO juga hendak menjaga hati sekutu mereka dalam BN - MCA, MIC, Gerakan.

Jalan paling berkesan mencegah dan memerangi murtad serta kemungkaran lain adalah melalui penguatkuasaan undang-undang syariah. Atas dasar ini, PAS menyertai pilihanraya untuk menguatkuasakan undang-undang syariah melalui penguasaan majoriti kuasa legislatif. Perkara ini dibuktikan apabila PAS telah berjaya menggubal dan meluluskan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah di negeri Kelantan dan Terengganu. Tetapi, kuasa diperingkat negeri adalah terbatas kerana perkara 121 Perlembagaan Persekutuan hanya memperuntukkan kuasa mahkamah syariah menjatuhkan hukuman bagi sebarang kesalahan jenayah syariah tidak boleh melebihi 2 tahun penjara, denda RM5000.00 dan 6 kali sebatan. Itu pun, UMNO tetap menghalang.

Buktinya, Kerajaan Negeri Kelantan di bawah pemerintahan PAS telah meluluskan Enekmen Kesalahan Jenayah Syariah II Kelantan yang di dalamnya menyebutkan hukuman berkaitan murtad menurut syarak. Lupakah anda semua siapakah dan dari parti manakah Perdana Menteri Malaysia yang menghantar surat amaran kepada Kerajaan Negeri Kelantan supaya undang-undang Syariah tersebut tidak dilaksanakan? Apalah yang UMNO takutkan sangat sekiranya undang-undang Syariah dikuatkuasakan. Islam tidak menurunkan hukum sebagai hukuman tetapi sebagai peringatan dan pengajaran kepada yang lain. Oleh sebab itu, perlaksanaannya perlu dibuat di kawasan terbuka agar dapat ditonton oleh rakyat.


Undang-undang sedia ada hanya memperuntukkan kebebasan agama sepertimana yang diabadikan dalam Perlembagaan Malaysia. Pertama, Fasal 11 menetapkan bahawa setiap orang mempunyai hak untuk menyatakan dan menjalankan agamanya dan untuk menyebarkannya tetapi tidak boleh menyebarkan agama-agama lain kepada umat Islam. Kedua, Perlembagaan juga menetapkan bahawa Islam adalah agama negara, tetapi agama-agama lain boleh dipraktikkan dengan damai dan harmoni (Perkara 3).
Sekiranya UMNO yang menunjangi BN bebar-benar ikhlas memerangi murtad, kita tuntut dua perkara sahaja. Pertama; gunalah kuasa untuk meminda perlembagaan bagi memberikan ruang yang seluas-luasnya kepada kerajaan negeri dalam melaksanakan undang-undang syariah. Kedua, berlapang dada sekiranya ada pemimpin UMNO yang dihukum dengan undang-undang syariah tersebut.

No comments:

Post a Comment