Thursday, August 25, 2011

Kilang Proses Ayam Diserbu Penguatkuasa



GEORGETOWN - Sebuah kilang penyembelihan dan pemprosesan ayam segar yang beroperasi tanpa mengikut hukum syarak di Taman Bukit Kecil, Bukit Mertajam diserbu sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) semalam. 


Serbuan yang dilakukan kira-kira jam 3.30 pagi itu adalah hasil maklumat orang awam yang diterima JHEAIPP sejak tiga hari lalu sebelum pemeriksaan dan serbuan dilakukan. 



Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JHEAIPP, Faizal Ibrahim berkata, pemeriksaan awal terhadap kilang yang beroperasi kira-kira 20 tahun itu mendapati kilang berkenaan tidak mempunyai sijil halal. 



Menurutnya, kilang berkenaan juga didapati menggunakan plastik pembungkusan berlogo halal milik sebuah syarikat beroperasi di Segambut, Kuala Lumpur. 



Faizal berkata, turut dikesan tempat penyembelihan mengikut syarak dan syariah Islam berada kira-kira hampir 10 meter dengan tempat memproses ayam segar untuk orang bukan Islam tanpa ada sebarang halangan bagi memisahkannya. 



“Dalam pemeriksaan itu kira-kira 3,000 ayam yang sudah diproses yang dianggarkan bernilai RM30,000 kemudian dirampas dan diserahkan kepada KPDNKK untuk pemeriksaan lanjut. 



“Siasatan akan dijalankan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 dan sekiranya sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM250,000,”katanya kepada media di sini semalam. 



Faizal berkata, pihaknya turut menahan 10 pekerja termasuk beberapa pekerja warga asing dari Bangladesh dan Nepal berusia antara 30 hingga 35 tahun untuk diambil keterangan diri bagi membantu siasatan. 



Difahamkan, ayam yang diproses di kilang berkenaan dipasarkan di sekitar Pulau Pinang termasuk juga beberapa hotel ternama, restoran, pasar pagi dan juga pasar malam. 



Dua lelaki tempatan dipercayai bertugas penyembelih di kilang berkenaan mempunyai sijil tauliah penyembelihan tetapi dikatakan tidak mengikut hukum syarak ketika menjalankan tugas mereka.


Sumber:Sinar Harian

No comments:

Post a Comment