Tuesday, August 16, 2011

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS (DPPN) P.PINANG BERHUBUNG ISU LARANGAN BACAAN ALQURAN MENGGUNAKAN PEMBESAR SUARA SEBELUM SUBUH.

DPPN P.Pinang menyokong penuh penjelasan yang diberikan oleh Mufti P.Pinang Sahibus Samahah Dato' Seri Haji Hassan bin Haji Ahmad berhubung isu larangan bacaan Al-Quran menggunakan pembesar suara sebelum subuh seperti surat yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) pd 12 Julai 2011 yang lalu.

DPPN P.Pinang yakin penuh bahawa arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti tersebut dibuat dengan penuh teliti & cermat serta rujukan dari nas & dalil yang sahih hasil aduan orang ramai berhubung isu tersebut.

Perlu difahami umum bahawa larangan yang dikeluarkan tersebut adalah bersifat 'nasihat hukum' yang terdapat dalam bidang kuasa mufti, bukannya fatwa seperti yang dilaporkan & didakwa sebelum ini.

Islam menganjurkan supaya mereka yang sedang tidur @ berehat dihormati & tidak diganggu tidur mereka dengan mengambil kira mereka yang terlantar sakit, terlalu tua, uzur, bayi mahupun kanak-kanak, samada Islam atau bukan Islam terutamanya ketika waktu selepas isya' hingga sebelum subuh.

Disamping itu, golongan warga tua, kanak-kanak kecil, orang yang sakit juga sangat dititikberatkan Islam untuk dihormati & diraikan hak-hak mereka, seperti yang disarankan oleh Baginda Nabi SAW:-
"Bukan dari kalangan kami (umatku) sesiapa yang tidak menyayangi kanak-kanak kecil, yang tidak menghormati orang-orang tua, yang tidak menyuruh kepada kebaikan & yang tidak mencegah kemungkaran". [riwayat Imam Tarmizi]

Walaupun membaca Al-Quran itu suatu yang sangat dituntut & diberi pahala kepada yang membaca serta yang mendengarnya, tetapi ianya juga turut terikat dalam ruang lingkup adab & batas-batas akhlak yang digariskan Islam.

Membaca Al-Quran walaupun ianya satu perbuatan yang baik, tetapi menjadi berdosa jika diperdengarkan bacaan itu di tempat yang tidak sesuai seperti dalam tandas, dalam majlis maksiat dan sebagainya.

Bahkan ada pendapat dikalangan ulama mengatakan, jika sekiranya bacaan AlQuran yang diperdengarkan melalui radio, cd, mp3 @ apa jua alat teknologi sekalipun, jika bacaan itu tidak diendahkan oleh orang yang mendengar, ada yang sedang ketawa, bercakap ttg urusan lain dsb, hendaklah ditutup (off) sahaja bacaan itu kerana dikira tidak menghormati bacaan AlQuran tersebut. 

Samalah juga keadaannya apabila seseorang sedang memberikan ucapan/kuliah atau sebagainya, ditegah kepada orang yang sedang mengikuti majlis tersebut untuk membaca Al-Quran, sebaliknya harus menumpukan perhatian kepada ilmu yang disampaikan.

Begitulah tingginya nilai adab & akhlak yang diajarkan oleh Islam kepada penganut-penganutnya, kerana itulah tujuan Nabi Muhamaad SAW diutus Allah ke muka bumi, untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak. 

DPPN P.Pinang turut difahamkan bahawa larangan bacaan AlQuran menggunakan pembesar suara sebelum subuh ini bukan sahaja dibuat di Pulau Pinang, bahkan ianya juga telah menjadi peraturan yang dikuatkuasakan sejak sekian lama pada masjid-masjid di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, negeri yang dibawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

Oleh yang demikian, DPPN P.Pinang meminta supaya pihak-pihak yang membantah perkara ini terutamanya yang menjadikan ia sebagai isu politik murahan yang begitu mudah membuat tuduhan melulu & berprasangka jahat kononnya kerajaan DAP P.Pinang telah menghalang bacaan AlQuran, supaya mengkaji & menyelidik terlebih dahulu perkara ini dengan bijak, penuh berhemah & hikmah.

DPPN P.Pinang turut bersetuju dengan kenyataan YB Abd Malik Kassim, EXCO Hal Ehwal Agama Islam Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang menegaskan bahawa larangan ini tidak ada campur tangan dari kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri YAB Lim Guan Eng. Adalah tidak wajar bagi pihak tertentu yang menuduh kerajaan negeri khususnya DAP berkuasa penuh menentukan perjalanan & undang-undang agama Islam yang terletak dibawah naungan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. 

Inilah hikmahnya apabila PAS mengambil keputusan untuk mengadakan kerjasama politik (tahaluf siyasi) dengan PKR dan DAP, dalam masa yang sama rakan-rakan parti dalam Pakatan Rakyat juga turut diberi kefahaman & pengetahuan tentang keindahan Islam yang dibawa oleh Rasululullah SAW. 

Berbeza dengan UMNO yang berkawan dengan komponen BN terutamanya MCA & MIC, semakin lama mereka berkawan, semakin terbukti bahawa UMNO yang mendakwa kononnya turut memperjuangkan Islam tetapi gagal memberi kefahaman Islam yang baik kpd MCA & MIC. 

DPPN P.Pinang juga percaya isu ini sengaja dimainkan oleh pihak-pihak tertentu bagi mengalihkan isu penyelewengan mykad & kepincangan daftar pemilih dalam sistem pilihanraya Malaysia yang hebat didedahkan ketika ini. Pulau Pinang juga tidak ketinggalan berhadapan dengan situasi ini apabila sejumlah lebih 14,000 warga negara asing dikesan terdapat dalam senarai daftar pemilih yang dikeluarkan SPR. Ianya turut diakui oleh Pengerusi SPR sendiri bahawa SPR tidak mampu untuk menyediakan daftar pemilih yang benar-benar bersih seperti tuntutan BERSIH 2.0 sebelum ini. 

Oleh itu, DPPN P.Pinang meminta agar perbahasan mengenai isu larangan ini dihentikan, sebaliknya hendaklah ditumpukan kepada isu pengkhianatan jahat pihak-pihak tertentu yang telah menggadaikan masa depan negara ditangan warganegara asing melalui projek konspirasi mykad & daftar pemilih yang penuh terancang, sulit & kotor.


Salam hormat,

AFNAN HAMIMI BIN TAIB AZAMUDDEN
Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang.

16 Ogos 2011 / 16 Ramadhan 1423H

No comments:

Post a Comment