Tuesday, August 9, 2011

Bulan Ramadhan atau Bulan Puasa?

Alhamdulillah... Ramadhan datang lagi. Setelah 11 bulan kita berjuang, kini kita direhatkan seketika untuk kembali ditarbiah dalam Madrasah Ramadhan. Ironinya Ramadan ini lebih dikenali sebagai bulan puasa bukan bulan tarbiah terutamanya kepada masyarakat Melayu.

Saya tertarik dengan tazkirah yang disampaikan oleh kekanda saya Al-Fadhil Ustaz Muhammad Fauzi Bin Yusoff; Timbalan Pesuruhjaya III PAS Pulau Pinang yang juga merupakan YDP PAS Kawasan Balik Pulau di sebuah surau dalam Balik Pulau. Beliau secara sinis menceritakan realiti masyarakat dalam mendidik anak-anak berpuasa.Sedikit sebanyak saya turut terasa terkena sindirannya.

Masyarakat Melayu sememangnya berjaya dalam mendidik anak-anak berpuasa. Sejak seawal jam 4.30 pagi kita akan berusaha memujuk anak untuk bangun sahur. Pelbagai cara kita guna bagi memastikan mereka bangun. Mungkin pada permulaannya sekadar dipanggil nama, kemudian dicuit badannya, lantas dipicit-picit kepala jika hanya terbuka sebelah mata sahaja. Sekiranya dah dikejutkan berkali-kali  masih liat maka direnjis air ke muka dan sebagainya. Semuanya bagi memastikan anak kita dapat menahan lapar disepanjang siang semasa menjalani ibadah puasa.

Sudah bangun berbagai-bagai pula ragamnya.Sabar kita memujuk mereka dengan diumpannya hidangan istimewa; ayam goreng, ayam golek, ayam madu, ayam panggang, ayam percik dan pelbagai jenis masakan kegemaran mereka. Pada kita yang penting mereka bersahur kemudian dapat menjalani ibadat puasa dengan sempurna.

Belum habis menikmati hidangan sahur, ada yang sudah merancang hidangan berpuasa dengan harapan mereka bersemangat untuk berpuasa. Anak-anak yang terlebih "pintar" (boleh juga dibaca sintaq) meletakkan syarat pula kepada kita - belikan mercun atau bunga api baru boleh puasa. Itupun dituruti tanpa berkata apa-apa.

Bagi anak-anak yang masih kecil berumur dalam lingkungan usia 6-7 tahun, diajarkan pula berpuasa separuh hari. Hari ini berpuasa sampai Zohor sahaja. Keesokannya dilewatkan sedikit untuk mereka berbuka. hampir sebulan dah mampu menahan lapar dan dahaga seperti orang dewasa. Tak cukup dengan itu, diajarkan puasa ada balasannya - satu hari penuh dapat duit raya RM1. Maka berlumba-lumbala mereka yang baru dengan abang-abang atau kakak-kakak yang lebih berusia.

Jika hendak dihimpunkan kisah-kisah mendidik anak-anak berpuasa pasti sepanjang hari sementara menenti waktu berbuka masih belum habis bercerita. Kita sebagai ibu bapa masing-masing pernah melalui zaman kanak-kanak itu. Pasti ada yang terciut hati tertawa keseorangan dengan pengalaman diri sendiri. Pengalaman lalu dijadi pedoman mendidik mereka agar mampu berpuasa sesempurna yang mungkin. Pengalaman curi-curi minum air ketika mandi dan sebagainya menjadi ingatan untuk mengintai anak-anak yang mungkin buat perkara yang sama.

Semuanya kita buat semata-mata memastikan anak-anak kita dapat memenuhi rukun Islam ketiga. Begitulah ragam masyarakat kita mendidik anak-anak berpuasa.

Dalam kekreatifan kita mendidik anak-anak berpuasa kita lupa untuk kreatif mendidik anak-anak melaksanakan tuntutan syariat Islam yang lain. Jika kita begitu prihatin mendidik anak-anak untuk berpuasa, mengapa tidak seperihatin itu kita mendidik anak-anak untuk bersolat, bertadarus, membaiki akhlak dan sebagainya.

Sebab itulah saya meletakkan tajuk artikel ini dengan nama "Bulan Ramadhan atau Bulan Puasa?". Bulan Ramadhan sewajarnya dijadikan sebagai bulan pentarbiahan jiwa. Kita perlu jadikan Ramadhan sebagai madrasah (sekolah) dalam mendidik anak-anak mematuhi syariat Islam. Banyak hikmah yang boleh diambil dalam bulan ini. bersabar, merendah diri, cermat berbelanja, elak membazir, perbanyak amalan sunnah, solat berjamaah dan sebagainya. Bukan sekadar madrasah kepada anak-anak tetapi juda kepada kita semua termasuk diri saya.

Dalam kesempatan awal Ramadhan ini, masih banyak yang perlu kita perbetulkan. Kita perlu memahami bahawa berpuasa bukan sahaja menahan diri dari lapar dan dahaga malahan menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. perkara-perkara yang boleh merosakkan puasa juga perlu dijauhi.

Dalam kesempatan bertemu Ramadhan tahun ini, mari kita sama-sama menghayati serta menghidupkannya dengan agenda pentarbiahan diri dan keluarga. "Jom Ubah Sebelum Parah"!!!

No comments:

Post a Comment